Cantik dan bijak.
Itu gambaran terhadap pakej lengkap Najah Afiqah Rose
Aza,18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini, yang
dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat
negeri ini selepas memperolehi keputusan 9A+.
Dia yang tersenyum kegembiraan ketika ditemui wartawan
selepas pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Syed
Putra di sini melahirkan rasa syukur dengan pencapaian tersebut sekali gus
membuka laluan untuk gadis itu merealisasikan cita-cita menjadi seorang doktor
perubatan pada masa hadapan, lapor Utusan Online lagi.
Anak kedua daripada tiga beradik pasangan guru itu berkata,
dia memberi fokus semasa di dalam kelas selain bangun seawal pukul 4.30 pagi setiap
hari untuk mengulang kaji pelajaran.
Katanya, kejayaan itu juga adalah kerana dia sentiasa
menjaga hubungan dengan Allah SWT dengan melakukan solat sunat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibu
selain guru-guru serta kawan-kawan yang banyak membantu serta memberikan
sokongan,” katanya.
Sementara itu, SMK Derma terus mencatatkan keputusan terbaik
dengan seramai 18 orang calonnya memperolehi semua A dalam SPM 2018.
Malah sekolah tersebut juga mengekalkan pencapaian 100
peratus calon layak mendapat sijil selain mencapai Gred Purata Nasional (GPN)
2.46.
0 Comments