KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna Facebook dan Instagram supaya menukar
kata laluan masing-masing jika menerima makluman yang kata laluan mereka
terdapat dalam format yang boleh dibaca oleh kakitangan dalaman Facebook.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata pemeriksaan
keselamatan rutin yang dijalankan Facebook pada Januari lepas mendapati
wujudnya permasalahan itu.
“Menurut Facebook, bagaimanapun, kata laluan itu tidak boleh
diakses oleh mana-mana pihak luar dan sehingga kini tidak ada bukti yang
menunjukkan kata laluan itu telah disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.
“Dalam hal ini, Facebook turut memaklumkan bahawa
permasalahan ini telah diperbetulkan dan para pengguna yang terbabit akan
dimaklumkan dengan sewajarnya berhubung perkara ini,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu sebarang proses penukaran kata laluan
perlu dibuat secara terus di aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram
untuk mengelakkan pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu dengan
memperdaya orang ramai melalui kaedah penipuan, penyamaran dan “Phishing”.
SKMM yang turut memantau perkembangan lanjut berhubung isu
itu akan berhubung rapat dengan pihak FB untuk sebarang isu yang berbangkit. —
Bernama
0 Comments