Kes Tembak Di Sempadan: Raja Muda Perlis Dan Raja Puan Muda Perlis Ucap Takziah



KANGAR, 28 Nov -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merakamkan ucapan takziah kepada Relow a/p Alang, isteri mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang terkorban dalam kejadian serangan di sempadan Malaysia-Thailand Selasa lepas. 

Tuanku Syed Faizuddin bertitah baginda berharap keluarga mendiang terus tabah dalam mengharungi ujian dan sesungguhnya pemergian mendiang merupakan kehilangan yang besar buat semua. 

"Mendiang merupakan wira negara yang sanggup mengadaikan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini. 

Baginda berdua turut mengutuskan ucapan takziah kepada Komander Briged Utara PGA SAC Abdul Ghani Mohamad Ji dan Batalion 3 PGA yang diketuai oleh Supt Rosman Kasman atas kehilangan itu.

"Beta mendoakan agar seluruh warga kerja serta seisi keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, dilanjutkan usia dan dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan," titah baginda. 

Dalam insiden awal pagi Selasa, selain Baharuddin, 54, rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis. -- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments