JPJ Perlis Guna Drama Pendek Didik Masyarakat Amal Budaya Tanpa Tunai



ARAU -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menggunakan drama pendek dalam usaha mengajak masyarakat mengamalkan budaya tanpa tunai ketika berurusan di kaunter JPJ dan kehidupan seharian.

Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata drama pendek berjudul 'Non Kangaq' berdurasi 17 minit itu menceritakan watak 'Non' orang kampung yang masih berdegil menggunakan wang tunai dalam urusan harian. 

"Beliau akhirnya beralih kepada tanpa tunai apabila dirompak ketika selesai membeli makanan di sebuah warung," katanya kepada pemberita selepas tayangan perdana drama pendek Non Kangaq di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dekat sini hari ini. 

Katanya JPJ Perlis memilih medium drama dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai kerana ia adalah sesuatu yang dekat dengan masyarakat dan mereka akan lebih mudah memahami dan menerima. 

Sementara itu, pengarah drama Non Kandaq iaitu Mahazir Abdul Majid berkata beliau dan kru produksi yang turut terdiri daripada anggota JPJ mengambil masa selama tiga minggu untuk menyiapkan drama pendek tersebut. 

"Ini adalah pengalaman pertama kami dalam menghasilkan drama dan kami berjaya melakukannya dengan berpegang kepada prinsip iaitu tiada yang mustahil," katanya yang juga Timbalan Pengarah JPJ Perlis. 

Antara pelakon yang membintangi filem pendek berlatarbelakangkan pemandangan menarik di sekitar Perlis itu ialah Zainol Mcwilson, Azmir Raja Lawak, Azafaris Juhary (Naga) dan pelakon veteran Perlis Yaakob Aziz selain 17 kru yang terdiri daripada anggota JPJ Perlis. 

Mahazir berkata drama pendek itu akan disiarkan menerusi platform media sosial Youtube JPJ Perlis pada minggu depan.

JPJ Perlis mula melaksanakan penggunaan tanpa tunai sepenuhnya di semua kaunter bermula 1 Okt lepas.

-- BERNAMA 

Post a Comment

0 Comments