'Jadi Laluan Seludup' - Kewujudan Jeti Haram Di Kuala Perlis Terus Dipantau


Polis terus memantau jeti-jeti haram di pesisir Kuala Perlis berhampiran Pulau Ketam, dekat sini bagi membanteras aktiviti penyeludupan terutama ketum di kawasan tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, 59 jeti haram yang dilaporkan sebelum ini masih ada di kawasan itu dan pemantauan dibuat termasuk di jeti-jeti yang tidak digunakan kerana penyeludup mengambil peluang untuk kembali aktif di situ, lapor Utusan Online.

Katanya, kegiatan penyeludupan ketum masih lagi berlaku di kawasan terbabit walaupun sudah agak berkurangan.

“Aktiviti mencantikkan kawasan di Kampung Seberang Ramai yang tidak jauh dari Pulau Ketam sedikit sebanyak memberi pengaruh yang baik di kawasan bersebelahannya.

“Daripada pemantauan kami, aktiviti ketum masih ada di situ tetapi tak banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 59 jeti ha­ram dikenal pasti di kawasan sepanjang 1.5 kilometer di pesisir Kuala Perlis berhampiran Pulau Ketam.

Jeti-jeti tersebut digunakan sebagai tempat pendaratan barang-barang terlarang khusus­nya daun ketum.

Post a Comment

0 Comments