Dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis direman hingga 21 Mac ini bagi membantu siasatan kes penerimaan suapan dianggarkan mencecah RM88,000.
Suspek disyaki menerima rasuah daripada proksi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang melanggar undang-undang.
Perintah reman selama tiga hari itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, selepas kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah, pagi tadi.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, Suzeliyana Hashim, berkata kedua-dua lelaki berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam.
Beliau berkata, mereka ditahan di pejabat SPRM Perlis, di sini, selepas dipanggil bagi membantu siasatan kes itu menerusi Op Sukat.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sejak 2018 hingga 2019 dengan nilai suapan dianggarkan mencecah RM88,000.
"Siasatan masih dijalankan dan kita menjangka ada lagi tangkapan dilakukan selepas ini," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, penangkapan kedua-dua suspek itu adalah susulan penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun di pejabat SPRM Perlis, kelmarin.
"Lelaki yang juga orang awam itu turut direman hingga 21 Mac ini bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009," katanya.
Sumber: BH Online
0 Comments