Kelas Campur Lelaki Perempuan Pun Tak Boleh, Taliban Akan Hapuskan Kurikulum Tak Sesuai Dengan Syariat Islam



Pemerintahan Afghanistan di bawah kekuasaan Taliban akan menghapuskan beberapa subjek yang bertentangan dengan syariat Islam, di peringkat kurikulum pengajian tinggi.

Abdul Baqi Haqqani, Menteri Pengajian Tinggi yang dilantik Taliban berkata, kelas yang bercampur lelaki dan perempuan juga tidak dibenarkan.

“Beberapa perubahan akan dilakukan dalam dasar kurikulum dan mengikut syariat Islam.

“Setiap subjek yang bertentangan dengan hukum Islam akan dimansuhkan,” jelas Abdul Baqi dalam satu kenyataan, memetik laporan Tolo News.

Tambahnya, selepas persiapan tersebut selesai, tarikh pembukaan universiti kerajaan akan diumumkan dalam tempoh kurang dari seminggu.

Menurut portal berita tersebut, Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan akan melancarkan program untuk menghantar mahasiswa meneruskan pengajian ke luar negara pada masa akan datang.

Dalam pada itu, tinjauan Tolo News terhadap beberapa pelajar di Afghanistan mendapati kegusaran para pelajar berkait dasar pembelajaran di sana. Menurut Tolo News, pelajar-pelajar ini khuatir kerana bilangan pelajar dan tenaga pengajar yang hadir ke universiti sangat sedikit.

Pembukaan institusi pengajian tinggi swasta di Afghanistan minggu lalu menyaksikan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan pengasingan antara mahasiswa lelaki dan perempuan.


Post a Comment

0 Comments