ALOR SETAR - Seorang guru mata pelajaran Sains di sebuah sekolah luar bandar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun dekat sini, meraih Anugerah Princess Maha Chakri 2021 pada 29 Oktober lepas.
Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berasal dari Simpang Empat, Perlis terpilih menerima anugerah itu berdasarkan pencapaian luar biasa dalam membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara digital kepada pelajar, guru serta komuniti.
"Saya dipilih menerima anugerah ini selepas menghantar pencalonan pada tahun lepas yang mana setiap negeri perlu menghantar dua calon guru dan nama saya disenarai pendek sebagai lima calon terbaik.
"Selepas itu, saya perlu melalui sesi dokumentasi, pembentangan serta proses temuduga dan lawatan pegawai KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) ke sekolah sebelum dipilih kementerian untuk menjadi wakil negara menerima anugerah ini," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Anugerah berkenaan diberikan oleh Yayasan Princess Maha Chakri kepada guru-guru ASEAN dan Timor Leste.
Norhailmi yang sudah berpengalaman 15 tahun dalam bidang perguruan menerima anugerah berkenaan di Konsulat Thailand, Pulau Pinang dengan membawa pulang pingat, piala, sijil dan wang tunai AS$10,000 (RM41,535).
Beliau sepatutnya menerima anugerah itu di Istana Raja di Bangkok, Thailand namun terpaksa dilangsungkan secara maya berikutan pandemik Covid-19.
Norhailmi melahirkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaiannya kerana ia membuktikan guru di negara ini mempunyai standard di peringkat antarabangsa serta hasil kerja yang diiktiraf meskipun mengajar di sekolah luar bandar.
Sumber: Sinar Harian
0 Comments