KUALA LUMPUR – Kejadian buli sehingga menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain merupakan insiden yang tidak sepatutnya berlaku dan boleh dielakkan.
Menurut seorang pengguna media sosial yang dikenali Izzuddin Yussof mendakwa, kejadian malang tersebut merupakan siri kebodohan yang berlaku dalam masyarakat termasuk melibatkan kepercayaan kepada bomoh.
“Kejadian ini (merupakan) siri kebodohan yang berlaku dalam masyarakat. Daripada kebodohan mencuri, bodoh percaya bomoh. Bodoh membuli, bodoh tidak guna akal dan segala jenis kebodohan yang lain.
“Akhirnya membawa kepada tamatnya riwayat insan yang tidak bersalah,” tulis beliau dalam Facebooknya.
Beliau mendakwa pihak pertama yang bersalah adalah pencuri sebenar komputer riba Muhammad Akmal Zuhairi Azmal.
“Kalau dia tak mencuri, segala ni takkan berlaku pun. Harap orang ni takkan boleh tidur dengan tenang, hidup dalam kegelisahan dan penyesalan selalu selamanya,” ujarnya.
Izzuddin mendakwa yang kedua bersalah ialah Mohd. Syafiq (tidak termasuk dalam 18 orang tu) kerana dia yang mencadangkan penggunaan khidmat bomoh terbabit.
“Percaya benda tahyul tu dah kenapa,” dakwa beliau.
Pihak ketiga yang bersalah dakwa Izzuddin ialah bomoh terbabit, Abdullah Md Seh yang merupakan ayah kepada Muhammad Ashraf, salah seorang daripada 18 yang tertuduh.
“Dia yang first melalui telefon sesuka hati namakan arwah sebagai pencuri. Tidak tahulah (jika) ada ke undang-undang yang boleh hukum dia menjadi punca kes pembunuhan ini.
“Kesemua 18 orang bersalah sebab bodoh percayakan bomoh yang kata arwah yang curi komputer riba. Walaupun tiada sebarang bukti. Hanya berpegang kata-kata bomoh.
“Namun yang terlebih bodoh adalah enam orang itu yang percaya sampai sanggup tekap arwah dengan sterika sebanyak 90 kali,” dakwa beliau.
Izzuddin mendakwa jurulatih atau warden UPNM juga bersalah yang seperti kata hakim, kalau mereka mengggunakan ‘akal’, maka arwah mungkin dapat diselamatkan.
“Selepas dapat surat layang yang meminta mereka memeriksa bilik 04-10 sebab ada orang perlukan rawatan segera, (kenapa) warden ini pula pergi sebarkan surat itu dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.
Tambah beliau, begitu juga dengan pihak doktor klinik swasta yang menjadi lokasi pertama allahyarham menerima rawatan.
“Takkan tidak nampak kesan seterika dan percaya buta ia berpunca daripada letupan dalam latihan (ada info lain daripada Dr locum di bahagian komen yang mereka cakap, arwah jatuh motosikal. Lagi tidak munasabah),” kata beliau.
Media baru-baru ini melaporkan enam tertuduh yang merupakan bekas pelajar UPNM dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Zulfarhan. – BebasNews
0 Comments