Sebuah kereta jenis Proton Perdana terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Kuala Perlis-Changlum berhampiran kilang papan pada Selasa lepas. Kemalangan tersebut telah mengorbankan seorang lelaki manakala seorang wanita cedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 8.15 malam. Lelaki yang maut tersebut merupakan pemandu kereta bernama Amirul Syawal Arshad, selepas tercampak keluar dari kenderaan.
Tambahnya lagi, mangsa yang menaiki kereta bersama penumpang, Marlisukarni Ahli, telah datang dari arah Kuala Perlis menuju ke Bukit Kayu Hitam sebelum berlakunya kejadian.
“Mangsa yang tercampak ditemui dalam parit oleh pihak bomba, manakala penumpang yang cedera telah keluar dari kereta melalui tingkap. Penumpang itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Nanda Maarof juga memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sumber: Sinar Harian
0 Comments